Kandungan siaran
Jabatan Metereologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) sudah bermula sejak 7 November 2022 dan akan berakhir pada Mac 2023. Dalam tempoh ini, kejadian hujan lebat berterusan boleh menyebabkan kejadian banjir. Pada hari ini, iaitu sehingga 9 pagi terdapat 419 mangsa banjir ditempatkan di empat (4) pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masing-masing dua (2) PPS di Selangor dan Perak disebabkan hujan lebat dan ribut petir. Pasukan perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat telah digerakkan bagi memberi perkhidmatan kepada mereka. Menghadapi bencana banjir semasa fasa peralihan endemik COVID-19 akan memberi cabaran kepada mangsa banjir dan semua agensi tindak balas yang bertanggungjawab untuk membantu dan mengurus mangsa-mangsa banjir. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa-mangsa banjir dan juga bagi mencegah penularan penyakit berjangkit yang boleh berlaku semasa banjir. Beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir telah diadakan antara Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah diadakan. Surat Arahan Persediaan Menghadapi Banjir MTL telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan Institusi KKM sejak 21 September 2022. Baca kenyataan penuh di https://kpkesihatan.com/2022/12/01/kenyataan-media-kpk-1-disember-2022-situasi-bencana-banjir-dan-kesiapsiagaan-menghadapi-banjir-monsun-timur-laut-2022-2023/