Kandungan siaran
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 21 Januari 2023, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan permohonan variasi bagi pelanjutan tempoh jangka hayat vaksin COVID-19 Comirnaty, CoronaVac dan Convidecia. Maklumat senarai nombor kelompok yang terlibat dalam pelanjutan jangka hayat boleh diperolehi melalui laman sesawang NPRA, www.npra.gov.my. Pendaftaran bersyarat telah diberikan kepada produk vaksin berdaftar ini, dan pengilang telah dibenarkan untuk mengemukakan data ujian stabiliti dari semasa ke semasa (rolling submission). Oleh itu, tempoh jangka hayat produk vaksin COVID-19 akan berubah (dilanjutkan) sekiranya data yang dinilai didapati memenuhi keperluan regulatori. Tarikh luput pada label vaksin mungkin menunjukkan bahawa produk sudah luput tetapi pengguna boleh menyemak tarikh luput yang sebenar (selepas pelanjutan) melalui laman sesawang NPRA (https://npra.gov.my/.../info.../vaccine-covid-19-update.html) KKM sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan di Malaysia telah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).