Kandungan siaran
Pada pagi ini, satu kunjungan hormat oleh Pasukan Projek ARCH (Project for Strengthening the ASEAN Regional Capacity on Disaster Health Management) telah diadakan sempena lawatan kerja mereka ke Kementerian Kesihatan berhubung kepada penganjuran Regional Collaboration Drill (RCD) 2023 yang akan diadakan di Malaysia pada bulan September nanti. Projek ARCH ini telah bermula sejak tahun 2016 dan dikelolakan oleh National Institute of Emergency Medicine, Thailand dan Japan International Cooperation Agency (JICA), Jepun dengan pembabitan semua negara anggota ASEAN. Matlamat utama projek ini adalah pembangunan kapasiti khususnya di dalam kesiapsiagaan dan respons kesihatan dalam menghadapi sebarang bencana di negara-negara anggota ASEAN dan membolehkan rantau ini berhadapan dengan situasi berkenaan bersesuaian dengan slogan ‘One ASEAN, One Response’. Penganjuran RCD 2023 ini adalah salah satu aktiviti utama di dalam projek ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia menyemak dan menilai semua strategi, garis panduan dan prosedur yang telah dihasilkan dalam pengurusan kesihatan bencana dari aspek keberkesanan dan keupayaan praktikalnya untuk memberikan tindak balas yang cepat dan berkesan dalam menghadapi sebarang bencana yang berlaku. Kementerian Kesihatan Malaysia berharap dengan penganjuran RCD 2023 di Kuala Lumpur tahun ini ianya juga dapat mengeratkan jalinan kerjasama dan kolaborasi dengan negara anggota ASEAN lain khususnya di dalam bidang pengurusan kesihatan bencana. Di samping itu, sesi perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang akan diperolehi melalui acara ini dapat memantapkan lagi petugas-petugas kesihatan dan perubatan di rantau ini bagi menghadapi sebarang bencana sama ada di dalam atau di luar negara. -Ketua Pengarah Kesihatan-