Kandungan siaran
Kenyataan Media KPK 7 April 2023 – Pendirian KKM Terhadap Dakwaan Jual Beli Organ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menekankan bahawa sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana ianya merupakan exploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan. Sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak. Jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ianya perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007. Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini. Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram. Untuk makluman, perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi melibatkan pendermaan organ daripada penderma hidup ataupun penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ samada buah pinggang, hepar, jantung ataupun paru-paru. Dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik). Selain itu, Malaysia juga telah menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008). Deklarasi ini menyatakan bahawa organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima yang sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama, mahupun status sosial atau kewangan. Seterusnya, deklarasi ini juga menekankan bahawa komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan. Oleh itu, sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ adalah dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, transplant tourism dan komersialisasi transplan. Kenyataan penuh di https://kpkesihatan.com/2023/04/07/kenyataan-media-kpk-7-april-2023-pendirian-kkm-terhadap-dakwaan-jual-beli-organ/