Kandungan siaran
Dari Page Dr Dzulkefly Ahmad: Mutakhir ini, saya menyedari kebimbangan masyarakat susulan laporan berita di peringkat global mengenai penularan jangkitan Hantavirus. Walaupun situasi di Malaysia setakat ini adalah terkawal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau rapi perkembangan ini dan mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan kesiapsiagaan negara berada pada tahap tertinggi. Untuk makluman bersama, Hantavirus adalah sejenis virus bawaan tikus yang merebak kepada manusia melalui udara yang tercemar dengan sisa kotoran, air kencing, atau air liur haiwan tersebut. Jangkitan ini tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut, dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus. Memandangkan tiada ubat antivirus khusus bagi merawat jangkitan ini buat masa ini, langkah pencegahan dan kawalan kendiri adalah perisai pertahanan kita yang paling ampuh. Selari dengan iltizam KKM untuk menganjak paradigma sistem kesihatan kepada fokus pencegahan, saya menggesa seluruh rakyat agar mengambil peduli tentang kebersihan persekitaran dan memastikan kediaman serta premis kerja bebas daripada haiwan perosak. Rakyat tidak perlu panik, tetapi kita mesti kekal berwaspada. Saya mohon saudara-saudari untuk merujuk siri infografik yang disertakan ini sebagai panduan lengkap mengenai gejala, cara penularan, dan tatacara pembersihan kotoran haiwan yang selamat. Kesihatan awam bermula dari rumah, marilah kita bersama-sama lindungi keluarga dan komuniti kita. #KKMPrihatin#MalaysiaMADANI#MADANIBekerja#YakinMADANI