Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kerana perkenan menerima patik untuk menghadap dalam kunjungan singkat ke Johor hari ini.
Kami bertukar pandangan dalam isu melibatkan kepentingan negara serta negeri Johor, selain memberi maklum usaha dan tindakan Kerajaan dalam mendepani kemelut global saat ini.
Kerajaan sesungguhnya akan terus bekerja memastikan rakyat dilindungi dan negara kekal aman dan stabil, Insya-Allah.
Foto: RPO
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIbekerja
Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada lewat petang tadi. Saya hargai ucapan beliau kepada keluarga dan rakyat Malaysia bersempena sambutan Eidulfitri Mubarak yang bakal tiba. Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan.
Saya berkongsi pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat.
Kami sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat.
Kami turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS. Walhasil, kerjasama padu ini menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam, termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan. Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
#RancakkanMADANI
Dalam suasana dunia yang terus berantakan akibat konflik dan perseteruan geopolitik, kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan dan kezaliman mengheret kita untuk bungkam. Perang yang melanda Asia Barat hari ini yang dicetuskan rejim ganas Israel dan didukung bala tentera Amerika Syarikat, persoalannya tidak lagi berlegar sekitar perihal angka korban dan kemusnahan infrastruktur semata, malah ia mencerminkan kecenderungan yang berbahaya untuk menunduk atau mendominasi ruang wilayah serta pengaruh tanpa menghiraukan aspek kemanusiaan. Mangsa paling besar tentunya wanita, kanak-kanak dan masyarakat yang dipaksa hidup dalam ketakutan, kehilangan dan trauma yang berpanjangan.
Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip yakni mendesak dihentikan segera keganasan, meredakan ketegangan serta menghidupkan kembali saluran diplomasi yang berpaksi pada undang-undang antarabangsa dan penghormatan terhadap maruah manusia.
Maka, dalam kerangka inilah Forum Ilmuwan Malaysia MADANI pada hari ini menjadi wahana penting untuk menilai secara adil cabaran geopolitik yang merundung dunia. Saya juga berbesar hati tatkala menyambut kehadiran Profesor Jeffrey Sachs sebagai pembicara undangan, seorang ilmuwan dan juga sahabat yang telah sekian lama menekuni persoalan pembangunan, kemiskinan dan tatanan dunia (world order). Mudah-mudahan wacana ilmiah seperti ini akan terus menyemarak ruang pemikiran yang berani, adil dan berprinsip dalam usaha dan upaya kita mempertahankan ‘reason’ dan martabat kemanusiaan sejagat. Terima kasih setingginya kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar dan Sunway University dalam mengelola forum pada hari ini.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
#RancakkanMADANI
Menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama masyarakat Sarawak di Kuching petang tadi. Ia menjadi kesempatan yang mengingatkan kita bahawa Ramadan tidak sekadar bulan ibadah tetapi madrasah yang mendidik jiwa; membentuk ketakwaan, memperkukuh persaudaraan, dan menyemai semangat kebersamaan antara kaum dan agama di negara ini. Dalam suasana yang penuh keberkatan ini, kita diingatkan bahawa nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan mesti terus menjadi teras dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Di ruang yang sama, saya tegaskan betapa dunia sedang berdepan kegawatan yang tidak diduga akibat konflik di rantau Teluk dan Parsi yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan. Lantaran itu, kerajaan mengambil langkah segera dan berhemah bagi melindungi rakyat, termasuk mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 meski negara tetangga di rantau kita hampir kesemuanya telah menaikkan harga petrol. Prinsip kita jelas yakni ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan beban itu tidak dipindahkan kepada mereka.
Namun dalam menghadapi tantangan ini, kekuatan sebenar negara terletak pada ketahanan domestik. Dengan etika kerja yang lebih tekun, tadbir urus yang lebih baik serta semangat inovasi dan perpaduan antara Persekutuan, negeri, sektor swasta dan rakyat, kita mesti mampu mengubah cabaran menjadi peluang. Seperti yang diungkap pemikir dan ekonomis Jerman-Austria Joseph Schumpeter mengenai ‘creative destruction’, setiap krisis menuntut keberanian mencari ruang dan jalan baharu dalam mengolah sistem ekonomi sediada. Insya-Allah, dengan ikhtiar bersama dan doa yang tidak putus, Malaysia mesti melangkah gagah sebagai tatanan yang berdaya tahan, bersatu dan tegap.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIbekerja
Lewat petang tadi saya berkesempatan meninjau suasana di Bazar Ramadan Taman Sukma, Petra Jaya, yang sentiasa menjadi tumpuan warga setempat setiap kali menjelang waktu berbuka. Banyak juadah lazat yang ditawarkan antaranya seperti umai, bongkol dan sambal ikan masin. Saya turut bertegur sapa dengan warga setempat terutamanya para peniaga dan pengunjung.
Kecekalan para peniaga yang terus berusaha menggerakkan ekonomi kecil-kecilan inilah yang menjadi nadi penting ekosistem ekonomi rakyat, dan kerajaan akan terus berikhtiar memperkukuh dukungan agar mereka berdaya tahan dan berkembang.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIbekerja
Dalam kes pijak Al-Quran, prinsip kita jelas yakni tidak boleh sama sekali kita mengizinkan sesiapa menghina Al-Quran, apatah lagi memperlekehkannya.
Dalam hal ini, pendirian kita tegas dan tidak berkompromi. Namun langkahnya mesti menurut jalur undang-undang.
Kita bukan menghukum di jalanan atau di media sosial tetapi hukuman adalah bidang kuasa mahkamah.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja
Sewaktu majlis berbuka puasa bersama para pemimpin masyarakat tempatan, saya mengingatkan hadirin agar tidak lalai dalam memanfaatkan keberkatan Ramadan yang mulia ini dengan memperkukuh pengembaraan kerohanian dan mempertingkatkan amal ibadah.
Apa jua perjuangan kita di dunia, sama ada dalam politik, pekerjaan mahupun kerjaya, matlamat akhirnya tetap satu, iaitu mencapai maksud firman Allah SWT, “La‘allakum tattaqun”, yakni agar kita menjadi insan yang bertakwa kepada-Nya.
Ramadan juga menuntut kita menginsafi denyut nadi kehidupan rakyat, khususnya mereka yang kurang bernasib baik hatta menuntut keprihatinan, empati dan kesungguhan membela nasib golongan memerlukan hendaklah diterjemahkan bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan yang nyata dan berterusan.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja
Gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak susulan serangan Israel terhadap Iran yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.
Malaysia dengan tegas menggesa Israel, Amerika Syarikat dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.
Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja
Hari ini saya menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgar D. Kagan, yang bakal menamatkan perkhidmatan beliau dan kembali ke Washington dalam masa terdekat.
Pertemuan ini turut menjadi ruang menzahirkan penghargaan atas sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia–Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, digital, teknologi serta kerjasama keselamatan.
Hubungan erat antara kedua-dua negara kekal penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memperluas peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja
Pembinaan rumah ibadat sama ada masjid, kuil atau gereja mesti mematuhi undang-undang serta peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan, keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara, justeru, sebarang pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan kebencian atau ketegangan kaum adalah tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan.
Pendekatan berlandaskan undang-undang, toleransi dan saling menghormati mesti terus menjadi asas dalam memelihara perpaduan negara.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
#RancakkanMADANI
Hadir ke perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan pagi ini lantas menyampaikan beberapa mesej dan amanat penting terkait keharmonian serta perpaduan negara.
Saya ingatkan, betapa pun simpang siur, gelagat politik dan lain-lain, yang kadang-kadang mengheret kita dalam kancah perseteruan di antara satu
sama lain, tapi umumnya, Alhamdulillah majoriti rakyat menerima kenyataan bahawa negara harus tegak atas landasan yang betul, memupuk persefahaman dan
perpaduan.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang aman, bersatu dan dihormati demi masa depan yang lebih makmur dan bermakna untuk generasi mendatang.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
#RancakkanMADANI
Dalam Sesi Penerangan Khas Parlimen terkait Isu Jajaran Sempadan, saya jelaskan bahawa Malaysia dan Indonesia telah melalui proses rundingan tahun 1977.
Perjanjian inilah yang menjadi asas kepada semua keputusan berkaitan jajaran sempadan sehingga kini.
Kerajaan MADANI bertindak berlandaskan fakta, undang-undang dan kepentingan negara tegas mempertahankan kedaulatan Malaysia tanpa kompromi.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja